Carian

Sunday, April 19, 2009

Palestin diambang bahaya

Nun dari kejauhan, kelihatan tompokan awan kelabu, menyelimut kemas Bandar Gaza. Kami terpinga, lalu terpacul soalan kepada Adnan, si pemandu teksi: "Itulah asap peninggalan dari bom Yahudi..." jawabnya bingkas. Kata-katanya itu membangkit kegusaran. Soalan demi soalan menerjah masuk ke kotak fikiran.

Bahaya masih ada

Awan kelabu itu, apakah sisa-sisa bom kimia? Bom Dime yang mampu menyelinap masuk dalam setiap urat nadi dan menyebabkan pendarahan tidak henti-henti dengan kecanggihan teknologi nanonya itu, masihkah ada sisanya di sana?

Bom sepanjang dua meter, berdinding besi setebal 10 milimeter dan seberat satu tan itu, pastikah tiada yang masih menyala? Sisa bahan radioaktif pembawa kanser untuk satu jangka masa yang lama, pastikah tiada di sana?

Adakah sudah tidak ada lagi ancaman dari Helikopter Apache yang berlegar-legar di udara dengan mesingan beratnya, atau pesawat tanpa pemandu yang mampu mengenal pasti longitud dan latitud sasaran dengan tepat? Dan..bom Fosforus putih buatan Amerika yang amat gemar meratah daging lembut anak-anak kecil yang belum mengenal erti dunia. Sudahkah terpadam semuanya? Tiada siapapun yang mampu memberi jawapan yang benar-benar pasti.

Riehan thoyibah

Pemandangan dahsyat di sana sini, mengalih perhatian kami dari kegusaran dek awan-awan hitam tadi. Malam pertama di bumi Gaza itu, angin bertiup begitu kencang.

Tiga sahabat dalam kamar kecil di Gaza International Hotel itu, telah lama dibalut mimpi. Perjalanan siang sungguh memenatkan. Tekanan perasaan, gelodak jiwa dan mainan minda membuatkan diri lemah lesu tidak bermaya. Sesekali deruan angin menghasilkan siulan demi siulan. Atap zink di rumah berdekatan berkeriut riuh rendah, hingga barisan gigi atas terasa ngilu.

Angin kencang tidak mampu mengejut mereka dari tidur yang sungguh lena. Adakah ini angin rahmat yang menghalau setiap zarah debu-debu beracun yang membentuk awan hitam tadi, atau angin azab yang bakal membadai petualang yang bejat dan zalim itu? Walau apapun, pasti ia angin rahmat. "Ya Allah, kurniakanlah bumi ini riehan thoiyibah (angin rahmat) yang sesuai dengan Samudera Ilmu-Mu yang Maha Luas itu..."

Petikan munajat dari kitab Sheikh Abul Hasan as-Shazili selepas solat tadi seakan terngiang-ngiang kembali... Dan angin semakin kencang..Tentera Allah? Tentera-Nya di mana-mana. Angin, udara, pasir, tanah, air dan api, semuanya patuh kepada kehendak dan perintah-Nya jua.

"Bawakan Rahmat atas umat ini. Nyahkan petaka dari bumi teraniaya ini. Ayuh! Jalankanlah tugasmu, duhai riehan thoyyibah!" Akhirnya, doa dan munajatpun menyatu, berarak pergi bersama angin lalu, bersama detik-detik malam yang penuh rindu.

Rupa Bani Israel

Ini bukan kali pertama berhadapan dengan Yahudi. Tahun lalu, sekumpulan Rabbi berpakaian jaket, seluar dan toga hitam, berbaris melintasi kami semasa transit di Lapangan Terbang Kaherah.

Semasa menziarah Masjid al-Aqsha as-Syarif tahun 1997, seluruh badan diperiksa dengan teliti, selama dua jam sebelum dibenar masuk ke al-Quds melalui Israel.

Pegawai mereka muda belaka. Tubuh mereka tidak sasa. Hanya biasa-biasa. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Sederhana, seakan-akan perawakan bangsa Melayu juga. Rangka badan agak lonjong dan kecil. Tidak agam seperti kebiasaan orang Arab.

Kulit mereka putih mulus, kemerah-merahan. Kadang-kadang, sedikit kekuningan. Rambut dan kening mereka hitam, hidung panjang dan mancung.

Namun, ada juga yang berambut keemasan. Bagi yang lebih dewasa, fizikal berubah menjadi lebih bundar. Tidak hairanlah, bukankah mereka cucu cicit Nabi Allah Yusuf yang rupawan itu? Dunia Hollywood tidak pernah sunyi daripada artis berketurunan yahudi.

Bagi peminat dunia hiburan, pasti mereka mengenali Adam Sandler, Nicholas Cage, Elizabeth Taylor, Barbara Streisand dan lain-lain. Siapa tahu, antara idola yang dipuja, rupa-rupanya seorang Yahudi!

Arab dan Israel cucu Ibrahim?

Dahulu mana ada bangsa bernama Israel. Bangsa Arab mahupun Yahudi, keduanya berasal usul daripada zuriat Nabi Ibrahim. Dari Nabi Ibrahimlah maka terbina salasilah keturunan Nabi Muhammad berbangsa Arab, dan salasilah keturunan Nabi Yaakub yang membina susur galur bangsa Bani Israel. Dari Siti hajar lahirnya Ismail. Dari Ismail berjujuran zuriat Adnan hingga ke Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Siti Hajar pula lahirnya Ishak. Dari Ishak lahir pula Yaakub. Dan dari Yaakub lahir nabi-nabi berketurunan Bani Israel seumpama nabi Yusuf nan rupawan, nabi Sulaiman seorang negarawan, nabi Daud seniman dan wirawan, sehingga nabi Isa a.s. yang naik ke langit membawa jawapan kepada seribu satu persoalan.

Justeru, Nabi Ibrahim a.s (juga disebut Abraham, atau Ebram) adalah bapa kepada bangsa Arab dan Bani Israel. Dua bangsa pada asalnya bersaudara inilah, Allah SWT kurniakan amanah untuk memelihara kitab dan agama suci-Nya, iaitu risalah keesaan Allah SWT di sepanjang zaman.

Asal nama Israel

Nama Israel berasal daripada nama nabi Allah Yaakub a.s. Baginda digelar Israel, yang membawa maksud 'Hamba Allah' atau Abdullah. Al-Quran memanggil anak cucu Israel (nabi Yaakub) dengan panggilan penuh belaian kasih sayang, "Wahai Bani Israel..(anak-anak Yaakub), ingatkah kamu ke atas nikmat-nikmat yang telah Ku anugerahi kepada kamu, dan Aku telah melebihkan kamu di atas bangsa-bangsa lain di alam ini..."

Mereka juga popular dengan sebutan Yahudi. Dari mana pula datangnya Yahudi ini? Nama Yahudi lahir dari satu puak daripada 13 puak dalam bani Israel. Di antara terdapat satu puak bernama puak Yahuda. Dari Yahuda lahirlah panggilan Yahudi. Jumlah 13 puak ini pula terbentuk hasil daripada keturunan anak-anak nabi Yaakub seramai 13 orang, termasuklah keturunan nabi Yusuf, Bunyamin, Levi, dan lain-lain.

Benar mereka istimewa, tetapi itu suatu masa dahulu. Keistimewaan mereka tetap ada syarat. Syarat perjanjian dengan Tuhan, mereka mesti memelihara iman dan agama. Sepuluh wasiat firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s. adalah janji yang perlu dipelihara mereka. Termaktub dalam perjanjian, "Tidak akan terkena janji ini, bagi mereka yang menzalimi" sebagaimana maksud Firman Allah SWT.

Negara Israel

Negara Israel bukan lama, baru sahaja berusia 46 tahun. Sebelum ini, tidak ada di mana-mana inci bumi ini sebuah negara bernama Israel. Di saat negara-negara di dunia telah lama berdaulat, Israel baru terkial-kial untuk mencari tempat di atas muka bumi ini. Kini dengan megah ia berdiri sebagai sebuah negara.

Bermula tahun 1947, dengan helah mainan politik barat bersekutu, dan campur tangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara Israel tegak di atas bumi Palestin. Menerusi perjanjian Balfour, Inggeris menyerahkan Palestin untuk dibina penempatan Yahudi.

Kini, yang ada hanya tinggal Tebing Barat dan Tebing Gaza sahaja. Itupun, kedaulatan hanya pada nama. Kuasa legislatif, ekonomi, ketenteraan semua dalam kepungan dan genggaman Yahudi.

Palestin dan mata wang Israel

Baik Gaza maupun Tebing Barat, Palestin tiada mata wangnya sendiri. Semua urusniaga menggunakan mata wang Sheqel, milik Israel. Sebelum ini, rakyat Palestin menggunakan mata wang Lira, Lubnan.

Sejak penguasaan Yahudi, matawang Sheqel telah digunapakai sehingga kini. Semua barangan harus dibeli daripada Israel. Bukan hanya penguasaan politik, Palestin juga dikepung dengan hegemoni ekonomi Israel sehingga kini.

Palestin di ambang bahaya

Lihatlah peta Palestin. Sejak tahun 1947 hingga kini. Apa yang sudah terjadi? Kini, Palestin tidak ubah tahi lalat manis di wajah anak dara sunti. Kelak bakal hilang dari pandangan, jika umat masih leka, ralit dibuai lena.

Adakah Palestin mendapat semula permata yang hilang, atau bakal berputih mata dengan kehilangan tanah yang sekelumit cuma? Tepuklah dada, tanyalah selera. Masing-masing mungkin sudah boleh meneka jawapannya.

Formula yang digunapakai adalah jelas dan mudah. Buat kacau, damai dan serah tanah. Dengan formula inilah negara Israel mendapat kedaulatan. Pepatah Melayu klasik 'Bagai Belanda mendapat tanah' kini mungkin terpaksa diganti 'Bagai Yahudi mendapat tanah'.

Agenda penaklukan Israel

Agenda mereka tertera pada bendera biru putih itu. Menurut Henry Ford dalam bukunya The International Jew, dua palang biru bermaksud Penaklukan di negara-negara yang berada di antara sungai Nil dan sungai Furat.

Jika Palestin berjaya ditakluk sepenuhnya, maka, negara-negara yang terletak di antara dua sungai bersejarah ini harus bersiap siaga.

Ini juga bermakna, Kota al-Quds dengan simbahan cahaya Kubah Keemasan itu, mungkin hanya menjadi foto kenangan. Batu-batu Masjid al-Aqsa, mungkin akan terkubur bersama runtuhan dinding kotanya.

Jika umat masih tidak bersatu, maka percayalah, igauan ngeri ini akan menjadi nyata. Kala itu, kita hanya akan melihat, sambil berkata dengan nada penuh lemah, penuh hina, penuh tidak bermaya, "Apakan daya..kita hanya mampu berdoa..." Na'uuzu billah.

Di mana singa Allah?

Teringat semasa ziarah ke al-Aqsa tahun 1997 itu, dengan nada sinis, bilal tua di Masjid al-Aqsa yang tergagap-gagap itu bersuara, "Wahai umat, teruslah bercakaran. Wahai Arab, teruslah bersahabat dengan mereka (Yahudi). Wahai anak muda, teruslah bermimpi dan hanyut dalam dunia kamu yang indah. Semoga serpih-serpih dari runtuhan al-Aqsa kelak akan menyentap urat leher kamu dan menyentak kamu dari tidur lena nan indah!"

Agaknya, di masa itu, baru kita tercari-cari, di mana saf para pejuang Ilahi. Di mana wira Salahuddin al-Ayyubi? Di mana Tariq Ibnu Ziyad? Di mana Hamzah Singa Allah? Di mana Muhammad Ibni Abdillah?

Namun kala itu, nasi telah menjadi bubur. Semua harapan telahpun hancur. Sesal kemudian, tiada apa lagi yang berguna. Jalan di hadapan hanya dua. Adakah bangun membina saf hadapan atau masih ingin terus dalam dakapan igau lena yang berpanjangan.

Ada akal, fikir. Ada mata, pandang. Ada telinga dengar. Jangan sampai termakan sumpah Summum Bukmun 'Umyum Fahum La Yarj'iuun...! (Mereka itu pekak tuli, bisu, buta dan tidak 'reti' bahasa! Keras, tegas. Bagai jarum tersusuk dalam segenap urat dan nadi. Teruslah wahai Bilal tua. Katakan yang benar, walaupun pahit. Umur kamu tidak lama sahaja yang tersisa. Apa digentar, Tuhan kan ada.

Kami memerlukan orang dewasa seperti dirimu. Di luar masjid, suara-suara bergema, Khaibar-Khaibar Ya Yahud, Jaisy Muhammad Saufa Ya'uud! (Ingat nasibmu dalam peristiwa Khaibar, wahai Yahudi. Tentera Muhammad pasti kan kembali!)

Sumber : Utusan Online

Tuesday, April 14, 2009

Mekah Pusat Bumi dan Ibadah

MEKAH atau juga disebut Bakkah, tempat di mana umat Islam melaksanakan ibadah haji dan umrah terbukti sebagai tempat yang pertama diciptakan Allah SWT dan sebagai pusat bumi. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Adalah sama tengah bumi itu ialah kaabah".

Dari tanah itulah Allah SWT menjadikan dada Nabi Adam a.s. Bahawa yang pertama berada pada Kaabah Allah itu para malaikat, kemudian dijadikan Adam selama 2,000 tahun sebelumnya.

Kemudian daripada itu para malaikat itu selalu memakmurkan Kaabah Allah itu dengan beramal kepada-Nya, sebelum Nabi Adam dijadikan oleh Allah SWT.

Selepas itu Allah dengan kehendak- Nya untuk menjadikan Adam di syurga. Kemudian Allah memerintahkan untuk turun ke bumi ini, dengan segala hikmah-Nya.

Maka turunlah Nabi Adam di sebuah pulau Sarandip, dan setelah dikurniakan Allah pada suatu tingkat di syurga, kemudian Allah berfirman maksudnya: "Wahai Adam, berjalanlah engkau", Maka ia pergilah berjalan sehingga sampai pada negeri Hindi/India. Setelah itu kemudian berdiamlah Nabi Adam di sana pada jangka waktu berselang lamanya.

Maka Nabi Adam merasa berdukacita dan kemudian Allah berfirman maksud-Nya: "Wahai Adam, pergilah menunaikan haji kepada Kaabah Allah. Maka pergilah Nabi Adam, dan setiap bekas jejak kakinya itu menjadi hutan rimba dan padang luas/gurun, sehingga tibalah Nabi Adam di Mekah serta bertemulah dengan para malaikat, seraya malaikat itu berkata: "Wahai Adam, berbahagialah haji tuan hamba, dan kami ini sudah sejak 2,000 tahun yang lalu mengerjakan haji pada kaabah ini.

Maka Nabi Adam berkata kepada malaikat itu: "Bagaimana bacaan pada waktu tawaf itu? Jawab malaikat itu kami membaca tasbih sebagai berikut: Subahanallahi wal-hamdulillahi wa la ila ha illallahu wallahu akbar.

Kemudian Nabi Adam bertawaflah di kaabah itu, serta membaca tasbih kepada-Nya dan Nabi Adam mengerjakan haji setiap tahun sekali dan seterusnya semasa hidupnya itu.

Pada riwayat Ibnu Abbas r.a menyebutkan: "Ketika Allah SWT menurunkan Nabi Adam AS ke bumi, maka Allah berfirman maksud-Nya: Wahai Adam, buatkanlah sebuah istana-Ku, kemudian Nabi Adam membuat/membina Kaabah atau Baitullah al-Haram untuk mematuhi atas perintah-Nya.

Kemudian setelah itu kaabah dibina dengan lima buah batu bukit.

Pertama, bukit Tursina, kedua, bukit Hira', ketiga, bukit Uhud, keempat, bukit Juddi dan kelima, bukit Baitulmaqdis.

Menurut kajian ilmiah, bahawa bola bumi ini pada mulanya tenggelam di dalam air iaitu samudera yang sangat luas. Kemudian gunung api di dasar samudera ini meletus dengan keras dan mengirimkan lava dan magna dalam jumlah yang besar yang membentuk bukit.

Bukit itulah tempat Allah memerintahkan untuk menjadikan lantainya dari Kaabah (kiblat). Batu asal Mekah dibuktikan oleh kajian ilmiah sebagai batu paling purba di bumi.

Setelah itu Allah terus menerus memperluas dataran dari tempat ini. Jadi tempat ini merupakan tempat yang paling tertua di dunia. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Kaabah itu adalah sistem tanah di atas air, dari tempat itu bumi ini diperluaskan".SETERUSNYA

Friday, April 10, 2009

Mengharap Pertolongan Allah

PERTOLONGAN yang dijanjikan Allah tetap berlaku kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana kuasa-Nya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat. (al-Haj: 61)

HURAIAN

Sebagai hamba Allah, manusia bersifat lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Kerana sifat itu jugalah, mereka sering dianiaya dan hak mereka dicabuli. Telah menjadi lumrah kehidupan juga siapa yang kuat dan berkuasa akan disanjung dan dihormati. Sementara mereka yang lemah pula akan ditindas dan dizalimi.

Oleh yang demikian mereka hendaklah bersabar di atas dugaan yang menimpa mereka dengan mengharapkan pertolongan Allah SWT. Berdoa dan bertawakal kepada Allah sepenuh hati kerana Allah berkuasa atas segalanya sebagaimana berkuasanya Allah menguasai peraturan alam buana ini.

Diciptakan-Nya malam dan siang silih berganti. Begitu juga pertukaran musim-musim sama ada musim panas, sejuk, luruh dan sebagainya. Kekuasaan-Nya sungguh mengagumkan dengan tidak pernah mungkir atau terlewat. Janji Allah itu pasti berlaku.

Mereka yang beramal soleh dan menuruti suruhan-Nya akan mendapat balasan syurga. Sebaliknya mereka yang ingkar dengan melanggar perintah-Nya akan dimasukkan ke neraka.

KESIMPULAN

Kita hendaklah sentiasa mengharapkan pertolongan dan keredaan dari Allah SWT, bukan memohon pertolongan dari kuasa-kuasa lain kerana dibimbangi akan menjadikan kita tergolong ke dalam golongan orang-orang yang mensyirikkan Allah.

Sesungguhnya Allah itu amat berkuasa terhadap sesuatu dan akan menolong hamba-hamba-Nya yang mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Oleh itu, sentiasalah kita berdoa dan bertawakal kepada-Nya.

Saturday, April 4, 2009

Merendah Diri

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (asy-Syu'ara: 215 )

Seorang pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang menjalankan tugas kepimpinannya berdasarkan nilai-nilai yang ditetapkan oleh syarak bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Seorang pemimpin dilarang berlaku zalim kepada rakyat bawahannya bahkan hendaklah sentiasa merendah diri dan melayan mereka dengan baik dan berlemah lembut.

Pemimpin yang zalim dan mengamalkan sikap kuku besi hanya akan menambah kebencian di kalangan rakyat jelata.

Apabila pemimpin merendah diri, mereka pasti dapat menawan hati para pengikut dan orang bawahannya. Dengan ini, tugas menyeru mereka ke arah kebaikan dan usaha-usaha bagi mengukuhkan keimanan menjadi semakin mudah.

Bagi orang-orang bukan Islam pula, mereka mudah tertarik dengan ciri kepimpinan yang ditonjolkan itu dan akhirnya mudah untuk patuh kepada arahan pemimpin mereka.

Dengan ini tali persaudaraan dan hubungan kemasyarakatan semakin kukuh. Seterusnya mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur.

Sifat merendah diri adalah amalan mulia dan patut diamalkan walaupun oleh mereka yang bergelar pemimpin.

Pemimpin yang baik hendaklah sentiasa merendah diri kepada rakyat bawahannya bukan bersikap sombong dan mementingkan diri sendiri. Dengan ini mereka akan disegani oleh rakyat kerana tertarik dengan penampilan pemimpin seperti ini.

About Me

My photo
I am an engineering student.For more information, please contact teenagemuslim@gmail.com

Kata-kata

Hidup memerlukan pengorbananan.

Pengorbanan memerlukan perjuangan.

Perjuangan memerlukan ketabahan.

Ketabahan memerlukan keyakinan.

Keyakinan pula menentukan kejayaan.

Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Adakah blog ini

© Copyright 2008

iqra-muslim.blogspot.com

teenagemuslim@gmail.com

iqra-muslim © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO